COMMUNITY ENGAGEMENT – Program Jerayawara Bubur Lambuk SABERKAS BERNAS 2019
2 Jun 2019 | Aktiviti TerkiniProgram Jerayawara Bubur Lambuk SABERKAS BERNAS merupakan program tahunan anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Daro. Istimewa untuk program pada tahun ini, yang mana ianya dianjurkan secara berperingkat di setiap 10 buah kampung di bawah SABERKAS Cawangan Daro bermula 12 Mei 2019 sehingga 1 Jun 2019.
Dimulakan di Kampung Tengah, Kampung Pangtray, Kampung Panchur, Kampung Masjid, Kampung Baru, Kampung Lemang Pek, Kampung Badong, Kampung Tebaang, Kampung Itol dan berakhir di Kampung Nangar, pihak SABERKAS telah berjaya mengagihkan lebih 3,000 pek bubur lambuk kepada orang ramai menerusi program sempena Ramadan yang diadakan secara berperingkat-peringkat di seluruh kampung berhampiran pekan Daro.
Setiap Unit mengikut kampung di bawah Saberkas Cawangan Daro telah diberi mandat untuk mengelola program tersebut di setiap kampung. Untuk Unit Kampung Masjid yang diketuai oleh Sahahan bin Samion selaku Pengurus Pusat Internet Daro, program tersebut berjaya dikelolakan pada 23 Mei 2019 dengan kerjasama daripada JKKK Kg Masjid serta penduduk kampung.
Setiausaha Agung Saberkas Sarawak, Safiee Ahmad berkata, program yang melibatkan kerjasama penduduk kampung itu bertujuan mengimarahkan Ramadan di samping merapatkan hubungan Saberkas dengan masyarakat setempat.
Menurutnya, program tersebut membabitkan aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk oleh ahli Saberkas dengan kerjasama penduduk dari sepuluh buah kampung di Daro.
“Program dianjurkan Seberkas dengan kerjasama jawatankuasa pengurusan surau masjid dan pertubuhan lain di kampung,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak selepas menghadiri program pengagihan bubur lambuk di Kampung Badong pada 25 Mei 2019.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro berkata, program tersebut merupakan kesinambungan pelaksanaan aktiviti anjuran Saberkas sepanjang Ramadan setiap tahun.
Penganjuran aktiviti itu katanya, Ramadan ini dapat mengeratkan hubungan antara Saberkas Daro bersama agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memupuk semangat saling bekerjasama antara satu sama lain.
“Saya amat gembira dan teruja melihat semangat tinggi ditunjukkan oleh penduduk menyediakan bubur lambuk walaupun kepenatan seharian berpuasa.
“Malah, program kali ini lebih meriah kerana melibatkan penyertaan penduduk di setiap 10 buah kampung. Secara tidak langsung objektif kita untuk menyemai semangat muafakat dalam kalangan mereka tercapai,” ujarnya.
Kredit : Suara Sarawak
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: